Thursday, November 12, 2009

Ilmu bermanfaat menjadikan kita takut kepada Allah

submission_by_yeekeru10
Pada hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam di negara ini sudah mula berjinak-jinak dengan majlis-majlis ilmu dan ulama. Di masjid-masjid dan surau-surau majlis-majlis pengajian ilmu semakin rancak diadakan.

Ia mendapat sambutan yang memberangsangkan dari segenap lapisan masyarakat yang dahagakan ilmu dan pentarbiahan hatta terdapat masjid yang mengadakan majlis pengajian pada setiap malam. Ini suatu perkembangan yang baik kepada peningkatan kualiti umat Islam di negara ini dan agama Islam itu sendiri.

Persoalannya, apakah ilmu yang mereka perolehi ini benar-benar memberikan manfaat dan kesan ke dalam diri mereka?

Ketahuilah, bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang menjelmakan perasaan takut kepada Allah SWT. Iaitu, takut yang disertai perasaan membesarkan Allah dan menumbuhkan amal. Allah SWT telah memuji para ulama melalui firman-Nya:

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. (al-Faatir: 28)

Inilah ilmu yang paling bermanfaat kerana ilmulah yang memandu kita ke jalan akhirat. Kalam hikmah ini diungkapkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam Hikamnya yang bertajuk al Hikam al Atoiyyah.

Terbukti, kalam hikmahnya ini telah mampu melunakkan hati yang keras, menenangkan jiwa yang resah, mengekang nafsu yang rakus dan mengajak manusia menyelami hikmah-hikmah di sebalik kejadian Allah SWT. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.

Adapun orang alim yang tidak mempunyai perasaan takut kepada Allah bukanlah orang alim yang sebenarnya.

Lebih-lebih lagi, orang alim yang keinginannya untuk mendapatkan kemewahan dunia, kemegahan dan bersikap takbur dengan ilmunya.

Ilmu sebegini hanya akan menjadi hujah ke atasnya di akhirat kelak dan sebab yang akan mengundang bala dan akibat yang buruk kepadanya.

Umar ibn al Khattab r.a pernah berkata, “Perkara yang paling aku takuti berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati”.

Ini bukanlah ciri-ciri pewaris para nabi kerana pewaris para nabi memiliki sifat zuhud terhadap dunia, berminat terhadap akhirat, ikhlas menyampaikan amanah ilmu dan bertakwa.

Orang yang memiliki ilmu yang bermanfaat, tidak memiliki sifat bongkak atau takbur, tidak suka mencaci orang lain, berlapang dada, mudah diajak berbincang dan tidak cepat melatah.

Sahl ibn Abdullah r.a pernah berkata: “Janganlah kalian memutuskan satu urusan dari urusan-urusan dunia dan agama kecuali setelah berbincang dengan ulama. Maka kesudahannya akan dipuji di sisi Allah SWT”.

Abu Muhammad r.a pernah ditanya: “Wahai Abu Muhammad! Siapakah ulama?” Jawabnya: “Orang-orang yang mengutamakan akhirat daripada dunia dan mengutamakan Allah daripada diri mereka sendiri”.

Saidina Umar ibn al Khattab r.a pernah mewasiatkan: “Berbincanglah mengenai urusanmu dengan orang-orang yang takutkan Allah”.

Al Wasiti r.a berkata: “Manusia yang paling pengasih ialah ulama, kerana perasaan takut mereka kepada Allah dan kebimbangan mereka terhadap apa yang diajar oleh Allah SWT”.

Banyak ayat dan hadis yang menyebut tentang kemuliaan ilmu atau ulama. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Penuntut ilmu dijamin oleh Allah rezekinya”.

Ketahuilah, bahawa ilmu yang diulang-ulang sebutannya di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW ialah ilmu yang bermanfaat yang disertai oleh perasaan takut kepada Allah. Bahkan, ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang mampu menguasai nafsu dan mengekang syahwat.

Disebut juga, ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membantu pemiliknya mentaati Allah, dan berdiri di atas landasan agama Allah.

Sebahagian Salaf berkata: “Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan hatinya)”.

Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh Junaid al Baghdadi r.a:

“Apakah ilmu yang paling berguna?” Jawabnya, “Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah SWT dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu”.

Beliau berkata lagi: “Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan fuqara, memuliakan kekasih-kekasih Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.

“Apabila orang alim yang mencintai dunia dan ahlinya, dan mengumpulkan dunia melebihi daripada keperluannya, maka dia akan lalai daripada akhirat dan ketaatan kepada Allah mengikut kadar kecintaannya kepada dunia”.

Allah SWT berfirman (maksudnya):

Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat. (al-Rum: 7)

Rasulullah SAW bersabda:

“Siapa yang kasihkan dunia, maka dia telah membahayakan akhiratnya dan siapa yang kasihkan akhirat maka dia telah membahayakan dunianya. Justeru ingatlah, utamakanlah suatu yang kekal (akhirat) daripada yang akan rosak binasa (dunia)”. (riwayat Imam Ahmad dan al Hakim)

Fudhail ibn ‘Iyadh berkata: “Orang alim ialah doktor agama dan cinta dunia ialah penyakit agama. Apabila doktor telah memasukkan atau mengheret penyakit ke dalam dirinya, maka bilakah masanya dia boleh mengubati orang lain”.

Sesiapa yang ilmunya memandunya kepada menuntut dunia, ketinggian di dalamnya, jawatan dan pandangan makhluk, maka ia adalah ilmu yang tidak bermanfaat. Bahkan, dia tertipu dengan ilmunya.

Tidak ada kerugian yang lebih besar daripada rosaknya orang alim dengan ilmunya yang diharapkan dapat menyelamatkannya. Kami memohon dengan Allah daripadanya.

Ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang diamalkan. Ulama mengumpamakan orang yang menghabiskan banyak waktu menuntut ilmu, duduk selama 40 atau 50 tahun belajar tanpa beramal, seperti orang yang asyik bersuci selama waktu itu dan memperbaharui wuduknya tetapi tidak solat walau satu rakaat.

Ini kerana maksud atau tujuan suatu ilmu ialah beramal dengannya sebagaimana tujuan berwuduk adalah untuk melakukan solat.

Berkata sebahagian ulama: “Kalaulah ilmu tanpa takwa itu penentu suatu kemuliaan, nescaya semulia-mulia makhluk Allah ialah iblis”.

Thursday, September 17, 2009

Selamat Hari Raya Eidul Fitri Maaf Zahir Dan Batin
Ikhlas dari Ustaz Rizuan Rahmat sekeluarga.

Oleh : Ust Rizuan Rahmat Dimasyqi

Penceramah & Perunding Motivasi

Max Evolution Consultancy & Training

Mudir Sek.Sri Pintar Sek 7 Shah Alam


SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu. Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.Lalu Rasulullah menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya korban atau Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri atau hari raya fitrah



Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat.Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Kerana itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.


Kalimat 'fitri' sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda. Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib yang bermaksud menyatakan bahawa:


"Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat."


Pada pagi hari raya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhwah dengan kunjung mengunjung di kalangan saudara mara dan sahabat handai . Perlu diingat Islam tidak pernah mengajar umatnya agar untuk berlebih-lebih atau melampau batas dalam menyambut apa saja perayaan. Ini bermakna Islam menegah umatnya melakukan pembaziran dalam menyambut hari raya seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya dengan pakaian mahal dan kuih muih terlalu banyak.


Pada zaman Rasulullah, datang seorang sahabat kepada baginda dengan berpakaian serba baru, kata sahabat ini: “Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat dapat menyambut Aidilfitri." Lalu baginda segera bertanya: "Kenapa wahai saudaraku?" Lelaki itu berkata: “Kerana saya tidak ada baju baru.” Rasulullah kemudian bertanya kepada beberapa sahabat lain, agar sesiapa yang mempunyai baju baru dapat diberikan kepada lelaki tadi. Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa saja untuk bergaya dengan baju baru. Tetapi pengajaran daripada kisah tadi ialah dalam menyambut hari raya tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru. Lalu, digalak sesiapa yang ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa saja kepada orang yang tidak berupaya.


Konsep hari raya selalunya dikaitkan dengan pembaziran. Membelanjakan wang ringgit untuk membeli secara berlebihan atau membeli sesuatu yang boleh membawa kemudaratan seperti mercun dan bunga api amat salah di sisi agama. Mungkin pembaziran ini berlaku kerana masyarakat kita hidup dalam kemewahan. Sepatutnya rezeki yang lebih itu disumbangkan kepada saudara seagama lain yang mungkin tidak dapat merayakan hari raya seperti kita.


Satu lagi budaya yang lazim berlaku dalam sambutan hari raya ialah pemberian duit raya. Islam tidak melarang pemberian ini, asalkan tidak melampaui konsep pemberiannya itu. Usahlah kita mendidik anak-anak supaya berkunjung ke rumah jiran semata-mata dengan harapan anak akan diberi duit raya ini. Jika sebaliknya, maka pelbagai anggapan dan prasangka buruk diberikan kepada sesiapa yang tidak melazimkan pemberian itu. Misalnya, dikatakan kedekut, tangkai jering dan bakhil.


Menyentuh soal wang ini, satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh semua umat Islam menjelang Aidilfitri ialah zakat fitrah. Wang zakat ini adalah sumbangan yang akan diberikan kepada golongan yang tidak berupaya, miskin, fakir dan sebagainya mengikut lapan asnaf yang ditetapkan syariat. Jika Aidilfitri disambut dengan kegembiraan yang melampau tanpa melihat beberapa pengisian yang disebutkan tadi, pasti tujuan asalnya jauh menyimpang. Kedatangan Syawal sepatutnya menginsafkan Muslimin di sebalik makna kemenangan dan kejayaan dalam sambutan Aidilfitri, kita tidak sepatutnya melupakan tuntutan agama.

Mudah2han Aidil yang disambut adalah hari kemenangan sebenar ummat khusus ummat Islam dinegara kita insyallah !

Tuesday, September 15, 2009

Program Ziarah Dan Bantuan Fakir Miskin Orang Asli

Program ajuran MPP ZON 3, Dewan Pemuda Pas dan Nisa' Kuala Langat. Program ini telah diadakan pada 12 september 2009 telah diketuai oleh Al Fadhil Ustaz Rizuan Rahmat. Alhamdulillah segala perancangan yang dirancang telah berjalan dengan sempurna. Terima kasih kepada Dewan Pemuda Pas Kawasan serta Nisa' Kuala Langat yang telah turut serta dalam memberi sumbangan dalam menjayakan program tersebut.

Mendengar taklimat sebelum memulakan misi.
SU lain macam je menjeling....bungkusan cukup tak!!!

Kampung orang Asli Bukit Komandol

Sempat juga bagi tazkirah niiiiii....


TKP sedang menjejaki golongan yang layak menerima bantuan





Nisa' Kuala Langat


Remaja Rabbani

Ust Rizuan Rahmat Dimasyqi

- Penceramah & Perunding Motivasi

Max Evolution Training & Consultancy

- Mudir Sek Sri Pintar , Sek 7 , Shah Alam


REMAJA RABBANI


Remaja adalah salah satu peringkat alam kehidupan manusia. Bermula dengan alam kandungan , alam bayi , alam kanak-kanak , alam remaja dan alam dewasa. Alam remaja adalah peringkat yang keempat dialam kehidupan , ini menunjukkan bahawa mereka (remaja) telah melalui beberapa peringkat kehidupan dan sedang mematangkan diri untuk mencapai ketahap kedewasaan. Menurut pakar saikoloqi diwaktu inilah berlakunya kecelaruan pemikiran pada diri , kerana mereka sedang mencari identiti diri mereka yang sebenar.Kadang-kadang ada yang terbawa-bawa zaman kanak-kanak dan ada juga yang terlalu ghairah sangat dengan alam dewasa yang terlalu hampir dengan mereka.Bermula disinilah mereka mencuba sesuatu yang tak pernah mereka lakukan, bagi mereka yang agak berani dengan keegoan yang tak berasas maka berlakulah perkara yang tidak dingini.Bagi mereka yang agak takut untuk mencuba sesuatu maka kawanlah menjadi ikutan dan tempat bergantung.


Oleh yang demikian maka remaja perlu mempunyai persiapan untuk menghadapi zaman ini.Ibu bapa dan guru-guru serta masyarakat menjadi inspirasi penting dalam menjana kehidupan mereka. Sebagaimana kisah Ashabul Kahfi yang Allah SWT rakamkan kisahnya didalam Al-Quran yang mana pada ketika itu 7 orang anak muda ini sedang berhadapan dengan sebuah pemerintahan yang zalim dan kejam.Pada ketika itu barang siapa yang berani mengatakan ada tuhan selain dari raja yang memerintah , mereka akan dipaksa supaya meninggalkan agama mereka atau mereka akan dibunuh. Semua penduduk takut kecuali 7 pemuda yang beriman ini mengambil keputusan untuk lari dari dipaksa supaya meninggal agama Allah SWT sebagaimana Allah SWT berfirman didalam Al-Quran yang bermaksud :-


” Sesungguhnya mereka itu anak-anak muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan mereka dengan hidayah” (Surah Al-Kahfi 13)


Bagi menjana persediaan dan memantapkan diri dalam menghadapi situasi begini remaja perlulah :-

1- Menjadi remaja yang berilmu.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

”Barangsiapa yang inginkan dunia maka hendaklah ia berilmu dan barangsiapa yang inginkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan barangsiapa yang inginkan dunia dan akhirat maka hendaklah ia berilmu”

Berilmu disini adalah mengetahui yang mana baik dan yang mana buruk , yang mana patut buat dan yang mana tak patut dibuat , yang mana boleh memudhoratkan dan yang mana tidak , yang mana dosa dan yang mana pahala.Jika kita tidak berilmu maka apa yang akan kita lakukan hanya berpandukan kepada hawa nafsu semata atau mengikut kawan semata-mata tanpa mengira betul atau salah , baik atau buruk.


2- Bertanya kepada orang yang lebih tahu.


Firman Allah SWT yang bermaksud :

” Maka hendaklah kamu bertanya kepada orang yang lebih mengetahui jika kamu tak mengetahui”

Pepatah melayu ada mnyebut ” banyak bertanya tak sesat jalan” tak rugi kalau kita rajin bertanya kerana ia boleh membantu kita dalam membuat sebarang keputusan dan kita juga tak akan rasa menyesal yang amat sangat kalau keputusan kita kurang tepat.Masyarakat kita pada hari ini terutama remaja malu nak bertanya sebab takut nanti orang kata”itu pun tak tahu ke” Bak kata pepatah”biar salah bertanya dari salah jalan ”


3- Berfikir panjang


Berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu.Fikirkan apakah akibatnya , apakah untungnya , apakah mudhoratnya dan apakah kebaikkannya.Kalau baik dan buruknya ada maka lihatlah mana yang lebih banyak , kebaikkan atau keburukan? Dalam kaedah usul fiqh apabila bertemu 2 keburukkan maka carilah yang paling kurang keburukannya dan kalau bertemu 2 kebaikkan maka carilah yang paling banyak kebaikkannya.


4- Jujur pada diri sendiri


Imam Ghazali ada menyebut ”orang yang paling bodoh didunia adalah orang suka menipu diri sendiri”. Jujurlah pd diri kita insyallah orang lain akan bersikap jujur pada kita.Ada orang malu dengan keadaan apa yang ada pada disendiri contohnya malu nak mengaku yang kita tak tahu , tak mampu , tak boleh tapi takut orang tahu maka terpaksalah berlakon antaranya berlagak pandai , berlagak kaya , bercakap tinggi(semua tahu). Akibatnya bila orang bagi bantuan kita tak dapat , orang suruh buat kerja kita tak tahu , lama- kelamaan orang tahu keadaan kita sebenar dan yang ruginya kita.


5- Bijak membahagi masa


Firman Allah yang bermaksud

Demi masa ! Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.(Al.Asr)


Telah apa yang jelas apa yang disebut dalam ayat diatas.Amal soleh bukannya solat sahaja tetapi apa saja yang kita lakukan kerana Allah dan tidak sia-sia maka ia adalah amal soleh.Nabi SAW juga pernah bersabda yang bermaksud :-

”Ingat lima perkara sebelum datang lima perkara sihat sebelum sakit , muda selum tua , kaya sebelum miskin , lapang sebelum sempit , hidup sebelum mati.”


Wahai Remajaku!!

Ingatlah ! sementara Allah SWT masih memberi peluang kepada kita maka gunakanlah sebaik munkin peluang yang ada semoga kita sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah.Janganlah disia-siakan masa muda anda dan jadilah remaja yang robbani dan berwasasan semoga kita akan menjadi remaja yang cemerlang, gemilang , terbilang didunia dan akhirat.Insyallah !!!

Thursday, September 10, 2009

PUASA BERI KEKUATAN DALAM

Oleh : Ust Rizuan Rahmat Dimasyqi

Penceramah & Perunding Motivasi

Max Evolution Training & Consultanc


Doa disifatkan dalam salah sebuah hadis sebagai senjata orang Islam dan pada ketika yang lain diibaratkan sebagai otak dari ibadat. Orang yang berpuasa seharusnya membanyakkan berdoa kepada Allah. Doa memberi pengharapan dan menambah keyakinan seorang hamba terhadap penciptanya. Doa juga menyedarkan manusia betapa kerdil dan lemah manusia terhadap perancangan Allah. Walau apa pun yang dirancang manusia ditangan Allah jua kuasa penentunya. Usaha manusia tidak akan dapat mengatasi qadak dan qadar Allah.


Orang yang berpuasa digalakkan untuk banyak berdoa hinggakan disebut dalam satu hadis bahawa mereka termasuk dalam 3 golongan manusia yang tidak akan ditolak doanya. Sabda Rasulullah yang bermaksud 3 orang yang tidak akan ditolak doanya ialah pemerintah yang adil, orang yang berpuasa hingga dia berbuka dan orang yang teraniaya. Dapatlah kita fahami di sini latihan jiwa hasil daripada puasa akan menyebabkan manusia hampir kepada Allah dan lantaran ia dekat kepada Allah doanya mudah diperkenankan. Manusia yang banyak berdoa kepada Allah bukan saja akan akur pada ketentuan Allah tetapi berkeyakinan bahawa Allah memakbulkan permintaannya bahkan apa yang telah ditentukan Allah adalah yang terbaik untuk dirinya.


Firman Allah yang bermaksud: ''Apabila hambaKu bertanya tentang Aku katakan (wahai Muhammad) bahwa Aku dekat dan Aku menyampaikan doa orang yang meminta kepada Ku.'' Surah Al-Baqarah ayar 186

Allah menjanjikan bahawa setiap yang meminta pasti akan dimakbulkan permintaannya. Ini bermakna Dia akan mengotakan janji-Nya. Apa yang dihajati oleh orang yang berdoa tadi akan ditunaikan tetapi menurut cara Allah dan perancangan-Nya bukan perancangan manusia. Kadang-kadang perancangan Allah sama dengan perancangan orang yang meminta kadang-kadang ia berbeza. Apa pun yang pasti doanya termakbul dan Allah memberi pilihan yang terbaik untuk manusia itu.


Ibadat puasa bukan saja menggandakan pahala untuk orang yang taat melakukannya tetapi ia menambah kekuatan spirituil melalui sifat ikhlas. Amalan puasa adalah antara manusia dengan Allah. Jika kita makan atau minum dengan diam-diam mungkin tiada siapa yang melihat cuma Allah saja yang tahu.


Dengan ini puasa menanam sifat jujur dalam diri sendiri dan kepada Allah. Apabila kita membiasakan diri dengan ikhlas, kita bertambah yakin dengan segala tindak-tanduk kita. Kerana pentingnya sifat ikhlas ini Allah s.w.t. sendiri yang akan membatas pahala orang yang berpuasa.


Ketahanan badan yang diperoleh melalui latihan berlapar dalam puasa juga menghasilkan ketahanan mental dan rohani. Melalui puasa dapatlah kita fahami bahawa seseorang menjadi kuat dan boleh bekerja bukanlah kerana makan saja tetapi kerana keyakinan dan iman kepada Allah akan menjadi nadi penggerak kepadanya. Ini terbukti dalam sejarah peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadan ketika pertama kali orang Islam diwajibkan berpuasa. Kekuatan seorang sahabat boleh bertambah menjadi kepada tenaga kekuatan dua puluh orang hanya kerana keimanan yang jitu pada Allah. Walaupun mereka sedang berpuasa musuh yang kenyang akhirnya tewas ditangan orang Islam yang lapar dan sedikit jumlahnya. Kesan kerohanian ini sebolehnya dikekalkan dalam diri orang Islam. Dengan itu mereka dianjurkan meneruskan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal supaya kekuatan rohani ini berkesinambungan. Bahkan untuk menjamin kesan kerohanian ini lebih dirasai dan berterusan, dari sebelum Ramadan orang Islam sudah mula berjinak-jinak dan berlatih melalui puasa Rejab dan Syaaban.


Puasa Ramadan berbeza dengan puasa dalam bulan lain. Ia penuh keberkatan, kedatangannya dialu-alukan dan pemergiannya ditangisi. Jika manusia tahu apa yang terkandung daripada keberkatannya mereka akan memohon supaya Ramadan itu sepanjang tahun. Sayang sedikit bagi kebanyakan kita penekanan persediaan Ramadan ialah seolah-olah Ramadan terpaksa dilalui untuk meraikan raya. Persiapan untuk raya melebihi daripada persiapan untuk puasa., Seharusnya kita bersiap untuk puasa bersedia meningkatkan kekuatan dalaman.


Bulan Ramadan sangat istimewa. Berkat dan rahmatnya membuat kebanyakan orang terpanggil untuk membuat kebajikan dan menambah ibadat. Orang yang jarang membuat amalan sunat pun akan sanggup sama-sama berjemaah, tadarus dan bertarawih. Paling tidak pun mereka terpanggil ke masjid untuk menikmati juadah berbuka dan ''moreh'' selepas tarawih yang disedekahkan oleh orang ramai.


Faktor pembangunan kekuatan manusia sebenarnya adalah terletak pada tiga perkara utama iaitu akal, rohani dan jasmani. Semua kekuatan ini dapat dibina melalui puasa. Akal menjadi kuat dengan pembacaan al-Quran. Rohani dan jiwa pula kental dengan zikir dan istighfar. Fizikal badan pula mendapat ketahanan melalui puasa.

Ibadat puasa sesungguhnya berbeza dengan ibadat yang lain. Kesannya tidak terlibat secara zahir. Ia lebih merupakan amalan dalaman yang tersirat dalam diri seseorang. Ia berupaya memberi kekuatan dalaman untuk pembangunan insan.


Oleh itu marilah kita sama-sama mengambil peluang dibulan yang berkat ini untuk berdoa kehadrat ALLAH swt.


YA ALLAH ! DNG KEBERKATAN RAMADHAN KUATKANLAH IMAN KAMI , TETAPKANLAH PENDIRIAN KAMI DALAM PERJUANGAN INI, IKHLASKANLAH PERJUANGAN KAMI , TABAHKANLAH & SATUKANLAH HATI KAMI , TETAPKANLAH PENDIRIAN PEMIMPIN2 KAMI , JAUHKAN KAMI DARI BENCANA KEMUSNAHAN , KEGUSARAN DAN KERAGUAN SERTA PERPECAHAN , HANYA ENGKAU KAMI MOHON PERTOLONGAN YA ALLAH YA ARHAMAR ROHIMIN YA RABBAL ‘ALAMIN.

Sunday, August 30, 2009

Program Bersama Orang Asli Bukit Komando






"Magical Template" designed by Blogger Buster