Friday, May 1, 2009

Selangor Hargai Golongan Pekerja

SHAH ALAM: Pada ketika seluruh dunia memberi penghargaan kepada semua golongan pekerja pada hujung minggu ini, saya menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua golongan pekerja di negeri Selangor kerana sumbangan anda semua dalam pembinaan negeri sebagaimana bentuk dan wajahnya yang diperlihatkan hari ini.

Saya juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak-pihak yang memberikan sumbangan tidak ternilai terhadap pertubuhan dan gerakan golongan pekerja di negeri Selangor khususnya dan di Malaysia amnya.

Pada tahun sudah, Kerajaan Selangor ada mengenalkan beberapa dasar baharu bagi menambah baik syarat dan faedah dalam perkhidmatan dalam kalangan pekerja bagi memastikan kebajikan mereka tidak diabaikan.

Contohnya, Kerajaan Negeri menaikkan garis kemiskinan daripada RM800 kepada RM1500 bagi setiap keluarga bertujuan memastikan golongan pekerja berpendapatan rendah dapat menikmati pelbagai program kebajikan dan bantuan.

Kerajaan Negeri juga sudah menambah kelayakan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari. Suami yang isterinya bersalin kini menikmati cuti sebanyak 14 hari menggantikan kelayakan sebelumnya berjumlah 7 hari sahaja. Bagi isteri yang kematian suami, kini menikmati cuti kecemasan sehingga 30 hari dan bergaji penuh berbanding kelayakan cuti tiga hari sebelum ini.

Kita berharap rakan-rakan majikan dalam sektor swasta bersedia memberi pertimbangan dalam hal mengubah dasar sebagaimana yang kita amalkan ini lantaran dasar-dasar Kerajaan Negeri sekarang selari dengan amalan di negara-negara maju lain di dunia.

Seperkara lagi, negara kita kini sedang berada dalam kegawatan ekonomi dan kita mungkin menghadapi keadaan kemelesetan yang terburuk dalam tempoh beberapa tahun lagi. Walaupun tahap buruknya impak kemelesetan ekonomi itu belum dapat dinyatakan, namun, kita perlu menyedari betapa pasaran pekerja bakal kekal lembab dalam tempoh setahun dua ini.

Mujur juga, saya percaya negeri Selangor mampu mengharungi keadaan turun naik ekonomi ini lantaran asas ekonomi negeri Selangor masih kuat dan pentadbiran Pakatan Rakyat cepat memberikan tindak balas terhadap pelbagai cabaran menerusi Jawatankuasa Menangani Masalah Pemberhentian Pekerja (Taskforce on Retrench Workers) dan Pakej Rangsangan Ekonomi yang tertumpu pada pembangunan lima projek utama.

Namun, selagi kita menghadapi cabaran-cabaran ekonomi, kita perlu meneruskan usaha membina kumpulan tenaga pekerja yang berdaya saing supaya kita sentiasa dalam keadaan siap siaga apabila kelembapan ekonomi pulih kembali. Maka, kita mesti sama-sama bekerja untuk mengukuhkan kekuataan ekonomi negeri kita, dan pada masa sama meningkatkan kemahiran tenaga pekerja, meningkatkan daya pengeluaran, dan terus menyeimbangi ketahanan dalaman.

Usaha seumpama ini penting dilakukan supaya negeri kita bukan sahaja dapat bertahan dalam keadaan kegawatan sekarang tetapi juga terus kukuh semasa peningkatan ekonomi global kelak.

Akhir kata, bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya mengucapkan “Selamat Hari Pekerja” kepada seluruh lapisan pekerja di negeri Selangor.

TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

0 comments:

"Magical Template" designed by Blogger Buster